Monday, September 22, 2008

MALAM LAILATULQADAR.. MALAM ISTIMEWA..

ADA satu malam rahsia yang amat istimewa pada Ramadan tetapi waktu sebenar berlakunya malam itu dirahsiakan Allah SWT daripada pengetahuan manusia.
Pada malam itu, ribuan malaikat bersiap sedia menunggu untuk mengangkat ibadat hamba Allah yang beribadat dengan penuh keimanan dan ketakwaan, dari alam dunia ke langit.
Malaikat Jibril bersama malaikat lain turun ke bumi untuk mendoakan setiap manusia yang beribadat, berzikir dan berdoa kepada Allah SWT pada malam itu dan Allah menyatakan kepada malaikat bahawa doa yang dipohon kepada-Nya ketika itu akan dimakbulkan.
Lebih istimewa adalah ibadat seorang hamba Allah pada malam itu digandakan sehingga menyamai nilai ibadat yang dilakukan selama 1,000 bulan atau selama 83 tahun empat bulan seperti firman-Nya:
“Malam lailatul qadar lebih baik daripada seribu bulan,” (al-Qadr, ayat ketiga).
Pada malam lailatul qadar itu juga, Allah memberikan nilai keampunan yang terlalu tinggi untuk hamba-Nya yang beribadat seperti sabda Rasulullah SAW:
“Barang siapa menunaikan ibadat pada malam al-Qadr dengan penuh keimanan dan pengharapan, Allah akan mengampunkan segala dosa yang sudah dilakukannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Demikianlah antara gambaran betapa istimewanya malam lailatul qadar, suatu malam paling mulia dan berkat yang berlaku hanya sekali dalam 365 hari, setiap tahun.
Pensyarah Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Roslan Mohamed, berkata malam lailatul qadar adalah anugerah utama Allah SWT khusus kepada umat Nabi Muhammad SAW saja malah berlaku pula hanya pada Ramadan dan tidak pada bulan lain.
“Mengikut Imam Malik, sejarah malam lailatul qadar bermula apabila Nabi Muhammad SAW sedar yang usia umat Baginda tidak sepanjang usia umat terdahulu, hanya antara 60 tahun hingga 70 tahun, malah Rasulullah SAW sendiri wafat ketika usianya 63 tahun.
“Menyedari hakikat itu, Rasulullah berdoa kepada Allah SWT memohon supaya umatnya dapat beribadat sama dengan nilai ibadat umat terdahulu lalu disebabkan kasihnya Allah SWT terhadap baginda, Allah SWT mengurniakan malam lailatul qadar,” katanya.
Imam Qurtubi pula menjelaskan bahawa dikurniakan malam lailatul qadar itu sebagai tanda cintanya Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW dan umat baginda melebihi umat lain dan dikurniakan malam istimewa itu juga bagi menghiburkan hati Rasulullah SAW.
Bagaimanapun, suatu perkara yang sering diperdebatkan ketika membicarakan soal malam lailatul qadar adalah pada malam bilakah ia akan berlaku?
“Hakikatnya tiada siapa mengetahui bila malam lailatul qadar akan berlaku termasuk Nabi Muhammad sendiri. Dalam satu kisah yang diriwayatkan Imam Muslim, diceritakan yang Rasulullah hampir memberitahu sahabat mengenai waktu berlaku lailatul qadar tetapi akhirnya tidak kesampaian,” katanya.
Selepas kerap ditanya sahabat, Allah SWT akhirnya memberi wahyu kepada Rasulullah dengan menerangkan bilakah berlakunya malam lailatul qadar.
“Selepas menerima wahyu daripada Allah SWT, Baginda berjalan untuk menemui sahabat bagi memberitahu tanda berlakunya malam itu. Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, Baginda menemui dua sahabat yang sedang bertengkar.
“Baginda kemudian sibuk meleraikan pertengkaran dua sahabat itu dan akhirnya Rasulullah SAW terlupa tarikh atau masa malam al-Qadr seperti diwahyukan Allah ,” katanya.
Roslan berkata, kalangan ulama berpendapat bahawa antara hikmah terlupanya Rasulullah SAW akan tanda-tanda malam lailatul qadar adalah supaya manusia berusaha sendiri mencari malam berkenaan.
Ulama silam, Syeikh Ahmad Abduh yang turut berpandangan sedemikian menyebut bahawa Allah hanya memberikan hidayah kepada mereka yang berusaha mencarinya sekali gus menggambarkan yang malam lailatul qadar hanya akan diberi kepada mereka yang ikhlas beribadat pada 10 malam terakhir Ramadan.
Ulama lain pula berpendapat yang dirahsiakan malam 1,000 bulan itu kerana membabitkan persoalan ketentuan qada dan qadar Allah SWT.
“Jika Nabi Muhammad SAW sudah memberitahu waktu berlakunya malam lailatul qadar, maka tidak ramai lagi umat Islam akan berusaha sebaliknya hanya menunggu dan beribadat pada malam itu saja dan tidak pada malam lain,” katanya.
Penelitian terhadap hadis Rasulullah SAW mendapati Baginda sekadar menyatakan malam lailatul qadar itu berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan selain malam ganjil pada 10 malam terakhir Ramadan serta terdapat hadis menyatakan pada malam 27 Ramadan.
Malam lailatul qadar penuh dengan rahmat kepada umat Islam yang patuh mengerjakan ibadat sepanjang Ramadan.
Beberapa ulama muktabar antaranya Imam Nawawi dan Ibnu Hazm berpendapat bahawa malam lailatul qadar bergilir dari setahun ke setahun, misalnya jika tahun ini berlaku pada malam 21 Ramadan, tahun hadapan akan berlaku pada malam 23 Ramadan.
Jumhur ulama menyatakan lailatul qadar berlaku pada malam 27 Ramadan berdasarkan hadis daripada Ubai ibn Kaab:
“Bahawa Rasulullah SAW memerintahkan kami menunaikan ibadat pada malam itu dan awal pagi 27 Ramadan, tandanya ialah matahari pada awal pagi dalam keadaan tenang, putih dan tidak pucat cuacanya,” (riwayat Tirmizi).
Sahabat Rasulullah SAW, Ibnu Abas pula berijtihad bahawa malam lailatul qadar adalah malam ke-27 Ramadan berdasarkan penelitiannya terhadap rahsia surah al-Qadr.
Beliau mendapati ada 30 perkataan dalam surah berkenaan dan perkataan‘Salamun Hiya’ (Sejahteralah malam itu) terletak pada perkataan ke-27.
“Bagaimanapun, apa yang Nabi Muhammad SAW tuntut bukanlah untuk mencari bilakah malam itu akan berlaku tetapi Baginda menyuruh supaya kita beribadat sebanyak mungkin pada 10 hari terakhir Ramadan.
“Itu yang patut diperbetulkan dalam persepsi masyarakat dan diamalkan, malah sunnah Rasulullah, baginda sendiri menghidupkan 10 malam terakhir Ramadan.
“Jika kita kita beribadat terus-terusan pada 10 malam terakhir Ramadan, maka kita pasti akan beribadat pada malam lailatul qadar malah kita tidak akan rugi apa-apapun jika beribadat pada malam selain malam itu,” katanya.
Justeru, seperti juga saranan Ibnu Qayyim, umat Islam seharusnya memperbanyakkan ibadat pada malam itu dengan membaca al-Quran, berzikir, beristighfar dan bertaubat, bertahajud, memohon doa, bersedekah jariah, bermuhasabah, bertafakur dan menangisi segala dosa silam.
Amalan mulia pada 10 malam terakhir Ramadan wajar diteruskan pada bulan lain, kerana ia boleh membentuk peribadi dan akhlak Muslim sejati. Ibadat tidak sepatutnya pada Ramadan saja kerana hubungan Allah dan umat Islam perlu sentiasa diperkukuhkan.
Sikap syukur kepada rahmat Allah akan mendekatkan manusia dengan pencipta-Nya. Perbanyakkan amalan pada 10 malam terakhir Ramadan, akan membentuk peribadi Muslim yang takwa dan sujud kepada Allah .

No comments: